Apple tambah dan kemaskini iMac serta warna iPhone 12

Oleh Iqhram Ahmad

SYARIKAT teknologi terkaya dunia, Apple Inc. memberi nafas baharu kepada perantinya dengan penambahan variasi baharu iMac yang menggunakan cip pemprosesan M1 serta warna yang lebih menarik bagi pilihan pengguna.

Dalam acara virtual ‘Spring Loaded’ yang berlangsung awal pagi semalam, Apple mengumumkan kemas kini beberapa produk sedia ada termasuk pilihan warna baharu untuk iPhone 12 dan iPhone 12 Mini.

Pengumuman menerusi laman web rasminya, yang amat dinantikan peminat syarikat teknologi bernilai USD2 trilion itu adalah berkaitan iMac baharu yang menggunakan cip pemprosesan M1 buatan Apple sendiri, sekali gus menggantikan cip pemprosesan Intel yang digunakan Apple sejak 15 tahun lalu.

Penggunaan cip M1 ini menawarkan prestasi yang lebih baik serta cekap selain memberikan jangka hayat bateri yang lebih lama berbanding generasi terdahulu.

Apple iMac ini didatangkan dengan skrin berkeluasan 24 inci serta menawarkan resolusi 4.5K bagi memudahkan penyuntingan video selain memberikan tona warna yang lebih tepat.

Selain itu, iMac hadir dengan pelbagai pilihan warna mengikut citarasa pengguna dan ini termasuk papan kekunci serta tetikus sebagai penyeragaman warna.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan peranti, versi terbaru iMac ini menyokong ‘TouchID’ pada papan kekunci.

Bagi pasaran Malaysia, iMac ini akan ditawarkan pada harga RM5,599 dan RM5,379 (untuk pendidikan) yang hadir dengan pemprosesan Apple M1 lapan teras bersama memori (RAM) 8GB, storan berjumlah 256GB SSD, dua port thunderbolt bersama-sama Magic Keyboard dan Magic Mouse.

Versi unit pemproses grafik (GPU) lapan teras pula akan ditawarkan pada harga RM6,449 dan RM6,019 untuk pendidikan.

Ia akan didatangkan dengan cip pemproses lapan teras, 8GB RAM, 256GB SSD, dua port Thunderbolt, dua port USB 3, Magic Keyboard bersama Touch ID, Magic Mouse dan Ethernet.

Pada acara yang sama, Apple turut mengemaskini pilihan warna iPhone 12 dan iPhone 12 Mini dengan warna ungu yang pasti akan menarik peminat di Korea.

Author

Share