Yayasan KRU lancar program Kita Jaga Kita

PETALING JAYA – Yayasan KRU akan melancarkan program ‘Kita Jaga Kita’ pada 1 Jun depan bagi membantu golongan belia mencipta peluang ekonomi melalui platform-platform digital berteraskan kemahiran berkaitan industri kreatif.

Presiden Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kru, Datuk Norman Abdul Halim berkata, dengan menggunakan barangan teknologi maklumat yang diberikan, penerima manfaat diwajibkan mengambil kursus-kursus latihan pendek secara dalam talian dalam bidang kemahiran berkaitan industri kreatif dan pemasaran digital.

Datuk Norman Abdul Halim

Sejajar dengan visi kerajaan di dalam Wawasan Kesejahteraan Bersama 2030, golongan belia harus bersedia untuk mencipta peluang ekonomi dengan cara baharu khususnya melalui platform digital yang berteraskan kemahiran berkaitan industri kreatif.

“Dengan menggunakan barangan teknologi maklumat, mereka diwajibkan mengambil kursus-kursus latihan jangka pendek di bawah tajaan Yayasan KRU secara dalam talian bagi bidang-bidang kemahiran berkaitan industri kreatif dan pemasaran digital.

“Para pelatih akan dibimbing untuk menjadi ‘influencer’, memulakan perniagaan atau memajukan perniagaan masing-masing melalui kerjasama strategik dengan platform-platform digital dan e-dagang,” kata Norman kepada Waaw.my

Norman memberitahu, Yayasan KRU telah menjalinkan banyak kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, menaja pelatih melalui program biasiswa dan menjalankan program-program kesedaran awam lain seperti ‘Contentpreneur’ dan ‘Kreatif X-Press’.

“Kami percaya program ‘Kita Jaga Kita’ juga akan memberi impak yang tersendiri khususnya mengubah nasib golongan belia B40 bagi membantu keluarga masing-masing.

“Program ini sudah mula mendapat sokongan sektor swasta, ikon-ikon media serta sukarelawan bagi menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan belia,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai persediaan pra-pelancaran akan datang, beliau menjemput orang ramai untuk menjadi sukarelawan dengan hanya mendaftarkan diri melalui laman sesawang Yayasan KRU.

“Sukarelawan hanya perlu membantu Yayasan KRU memuat baik dan berkongsi bahan-bahan hebahan program ini melalui platform media sosial masing-masing.

“Ini termasuklah lagu tema dan video muzik Kita Jaga Kita nyanyian artis-artis tempatan sekali gus meningkatkan lagi kesedaran pelbagai pihak bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya

Sukarelawan hanya perlu membantu Yayasan KRU memuat naik dan berkongsi mengenai program ‘Kita Jaga Kita’ di media sosial sekali gus membantu meningkatkan lagi kesedaran pelbagai pihak bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Untuk maklumat lanjut, sila e-mel ke enquiries@yayasankru.org.

Author

Share