Leica umum Leitz Phone 1

Oleh Supian Ahmad

INI bukanlah pertama kali Leica mengeluarkan telefon pintar, sebelum ini jenama kamera itu amat terkenal dengan siri kerjasama bersama syarikat telekomunikasi dari China, Huawei.

Pada tahun 2014, Huawei mencari cara untuk menaiktaraf kamera telefon pintarnya, dan Leica juga mencari peluang untuk memasuki ruang dalam konsep mudah alih.

Melalui beberapa siri perbincangan antara Huawei dan Leica, mereka bersetuju untuk bergabung dalam pelbagai bidang teknologi dan terhasillah Huawei P9 pada tahun 2016 hingga ke model terakhir, P40 pada tahun 2020.

Kini, Leica telah bergabung pula dengan jenama dari Jepun, Sharp untuk menghasilkan telefon pintar berjenama sendiri, Leitz Phone 1.

Menggunakan model Aqous R6 sebagai asas, ia dilengkapi dengan ciri-ciri ikonik Leica seperti ‘Leica Red Dot’, disertakan juga penutup lensa ‘magnetic’ hitam kusam untuk melindungi camera dibelakang dan binaan badan berwarna logam “Leica silver“.

Model terbaru telefon pintar keluaran Leica, Leitz Phone 1. Kredit foto oleh endgadget

Sama seperti Aquos R6, Leitz Phone 1 dikuasaikan dengan sensor 20 megapiksel bersaiz 1 inci bagi kamera f/1.9 bersama dengan kamera hadapan 12.6 megapiksel di hadapan.

Dilengkapi skrin IGZO OLED 6.6 inci dengan resolusi 2.73×1.26 inci. Terdapat juga sensor cap jari “ultrasonik 3D” bagi membaca dua cap jari secara serentak untuk keselamatan tambahan.

Dikuasakan dengan pemproses ‘flagship’ dari Qualcomm Snapdragon 888 serta RAM 12GB, anda akan mendapat ruang storan 256GB yang dua kali lebih banyak daripada Aquos R6.

Bukan itu sahaja, anda boleh menambah storan sehingga 1TB melalui slot kad microSD. Telefon pintar ini dibekalkan dengan bateri 5,000mAh.

Bahagian belakang Leica, Leitz Phone 1. Kredit foto oleh endgadget

Leitz Phone 1 menggunakan sistem operasi Android 11 dan menampilkan UI yang disesuaikan oleh Leica.

Aplikasi kamera menawarkan satu mod yang dinamakan “Leitz Looks” bagi yang gemar menangkap foto hitam putih, yang pasti akan membuat peminat Leica tersenyum puas.

Menurut laman web endgadget, buat masa ini Leitz Phone 1 dijual secara eksklusif di Jepun oleh SoftBank dengan harga 187,920 yen atau sekitar RM7000.

Tempahan akan bermula pada 18 Jun dan dijangka akan diterima oleh pengguna pada akhir Julai ini.

Author

Share