Identiti bekas ratu cantik terbongkar, mengaku tidak bersalah tumbuk polis, guna dadah

MEMANG kecoh satu Malaya apabila tersebarnya dakwaan seorang bekas ratu cantik yang didakwa mabuk lalu merempuh polis di sebuah sekatan jalan raya di Jalan Universiti Petaling Jaya pada Khamis, 8 Julai lalu.

Malah tidak cukup dengan itu, dia didakwa pula menumbuk anggota polis semasa kejadian itu berlaku.

Terbaru, bekas ratu cantik berkenaan, Kohinoor Damodaran Kaittiani mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk polis di hadapan Majistret Zhafran Rahim di Mahkamah Majistret Petaling Jaya Selangor semalam. Dia juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan penyalahgunaan dadah.

Kohinoor Damodaran Kaittiani dan rakannya Quek Shen Tying mengaku tidak bersalah atas tuduhan terhadap mereka. Foto BERNAMA

Setelah pelbagai spekulasi dan dakwaan timbul mengenai identiti bekas ratu cantik dengan laporan ini akhirnya mendedahkan siapakah bekas ratu cantik yang bertukar menjadi ratu gusti ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Kohinoor yang berusia 22 tahun ketika menyertai pertandingan edisi ke 51, Miss Malaysia Universe 2015 juga didapati menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam, seorang Koperal bernama Sharularifin Sarmasan dengan bertindak menumbuk penama berkenaan.

Kenderaan yang didakwa digunakan untuk merempuh SJR pada 8 Julai lalu. Foto Careta.my

Bagi pertuduhan kedua, bekas penuntut jurusan undang-undang Universiti HELP ini didakwa menggunakan dadah merbahaya jenis Tetrahydrocannabinol (THC) di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya pada jam 2 petang tarikh sama 8 Julai.

Terdahulu memetik kenyataan ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohammad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, wanita terbabit tidak memberhentikan kenderaan apabila tiba di SJR Jalan Universitisebaliknya terus merempuh sekatan berkenaan.

Menurut Fakhruddin lagi, anggota kereta peronda polis segera mengejar dan menahan kenderaan suspek, tetapi wanita itu menumbuk anggota polis yang cuba menahannya.

Foto Kohinoor Damodaran Kaittiani ketika menyertai Miss Malaysia Universe pada 2015

Walaupun tidak berjaya memasuki senarai 10 teratas dalam pertandingan Miss Malaysia Universe 2015, Kahinoor memenangi kategori Miss Congeniality pada tahun 2015. Pada tahun yang sama dia juga merupakan Miss Cosmopolitan Malaysia dan Miss Cosmopolitan Dunia.

Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Merbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya dan pengawasan tidak kurang dua tahun serta tidak lebih tiga tahun.

Tinjauan Waaw.my ke laman FB Kohinoor juga didapati kini tidak aktif

Author

Share