Notis mengejut “dibuang” dari Melodi, Awal luah rasa ralat?


PETALING JAYA : Pengacara, Awal Ashaari berkongsi, rasa ralat menyelubungi dirinya daripada pelbagai aspek apabila menerima notis pemberhentian sebagai pengacara Melodi kira-kira dua minggu lalu.

Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari,40, berkata, penamatan kontrak secara mengejut itu dilihat sebagai salah satu proses ‘pembersihan’ di Media Prima Berhad.

“Ralat. Itulah ungkapan yang paling tepat buat masa ini yang mana ralat tidak sempat balik ke set Melodi untuk episod akhir. Ralat tidak dapat menyerahkan tugas kepada bakal pengganti.

“Ralat tidak dapat berjumpa pihak produksi Melodi yang sudah seperti keluarga sendiri. Ralat tidak dapat hendak mengucapkan selamat tinggal kepada program kesayangan saya ini. 

“Ralat juga kerana tidak sempat untuk merencana hala tuju kerjaya saya selepas ini. Selesai rakaman program ini semalam, saya terdiam kerana memikirkan beginikah pengakhiran saya untuk program ini?

“Bukan minta diraikan, cuma saya tidak sempat hendak mengucapkan selamat tinggal kepada semua pihak yang berjasa, memberikan kerjasama dan menyokong perjalanan kerjaya sepanjang bersama Melodi,” luah Awal.

Suami kepada pelakon dan pengacara Scha Alyahya ini meluahkan apa yang terbuku di hati berhubung keputusan berkenaan menerusi Instagram.

Tambah Awal, lebih mengecewakan apabila pengakhirannya bersama program berkenaan sejak lapan tahun lalu berlaku dalam suasana yang mengejutkan.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga berkata, dia bagaimanapun tidak berkecil hati dengan perkara tersebut dan berharap pengacara baharu yang akan mengantikannya dan Janna Nick dapat menjalankan tugas mereka dengan baik.

Awal mula mengacarakan program Melodi bersama rakan selebriti, Janna Nick sejak tahun 2013.

Program hiburan itu bersiaran pada setiap Ahad, pukul 12 tengah hari di TV3.

Sebelum ini, nama pelakon popular Nabila Huda disebut-sebut sebagai pengacara baharu program berkenaan.

Sejak beberapa minggu ini Media Prima juga membuat keputusan mengejut dengan menamatkan kontrak tiga penyampai radio Hot FM iaitu Mark Adam, Fizie dan Deen.

Sejak berita pertukaran pengacara Melodi tersebar, netizen mula mengecam program berkenaan malah ada yang mahu program berkenaan dihentikan.

Waaw.my sebelum ini juga telah berkongsi berita mengenai Nabila Huda yang bakal menjadi pengacara program berkenaan menggantikan Awal dan Janna. Manakala identiti seorang lagi pengacara yang akan bergandingan dengan Nabila masih tidak diketahui.

Author

Share