Anugerah Terindah Alif Satar & The Locos


PETALING JAYA : Sejak lima tahun menubuhkan Alif Satar & The Locos (ASTL), Alif semakin selesa mengorak langkah bersama band itu.

Selepas muncul dengan single raya berjudul Lagu Raya pada Mei lalu, (ASTL) tampil pula dengan single terbaharu mereka, Anugerah Terindah yang dilancarkan secara rasmi pada 23 Julai lalu.

Alif Satar & The Locos yang dianggotai oleh Alif selaku vokalis, Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Faliq Auri (saksofon) dan Rajwan Juni (dram) masing-masing optimis untuk terus melangkah jauh dalam bidang muzik tempatan.

“Alif Satar & The Locos ini diwujudkan sejak lima tahun lalu. Kebetulan selepas 10 tahun saya menyanyi solo, saya terfikir untuk membuat perubahan baharu dalam kerjaya muzik. 

“Selama ini saya menyanyi menggunakan ‘minus one’, jadi saya membayangkan alangkah menarik jika ada band dan boleh mengiringi setiap persembahan pentas saya.

“Sejak itu tertubuhnya ASTL yang mana kami bermula secara akustik. Kemudian kami bersama-sama menjayakan konsert pertama di Singapura bersama Siti Nordiana. Kemudian, kami mengadakan siri Jelajah Persembahan di Sheffield, United Kingdom (UK) pada 2019. 

“Alhamdulillah, sudah lima tahun kami bersama dan ia satu perjalanan yang menyeronokkan. Diakui, saya sentiasa teruja membuat persembahan dengan band. Sekarang ini, apa saja projek kalau boleh memang nak membabitkan ASTL. Mereka tetap di hati saya,” katanya.

Sebagaimana Alif berjaya meletakkan kerjaya solonya di puncak kejayaan, begitu juga tinggi harapan Alif dalam ASTL.

Menurut Alif, dia mahu ASTL bekerjasama dengan penerbit dan komposer luar negara.

Author

Share