Mulanya suami teringin, Ayu Damit jadikan kek pisang sumber pendapatan


PETALING JAYA : Penyanyi, Ayu Damit berkongsi, perniagaan kek pisang yang diusahakan secara tidak dirancang menerima respon baik yang diterima secara tak langsung buat dirinya lebih semangat. 

Ayu, 32 atau nama sebenarnya, Norayu Damit berkata, perkara tersebut tercetus apabila suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin teringin untuk makan kek pisang hasil air tangannya sendiri. 

“Suami yang teringin hendak makan kek pisang, secara tidak langsung saya mendapat idea untuk menjualnya pula. Jadi saya fikir mengapa tak buat buat sendiri dan mulai cari cara penyediaannya menerusi Google dan YouTube. 

“Saya cuba buat dan kebetulan, rakannya ada datang rumah dan saya pelawa mereka untuk sama-sama rasa. Mujur rasanya lulus dan mereka mencadangkan untuk menjualnya.

Kek pisang yang diusahakan oleh Ayu Damit mendapat sambutan memberangsangkan.

“Keesokannya harinya, saya cuba buat lagi untuk tambah baik resipi. Jika hendak jual, mestilah kita mahu memberikan yang terbaik,” katanya. 

Penyanyi yang kini muncul menerusi single Pertama ini menambah, respon baik yang diterima secara tak langsung buat dirinya lebih semangat. 

“Saya jual sebiji RM25 dengan anggaran berat satu kilogram. Saya mula bisnes ini lebih sebulan lalu dan sehingga kini, ia sudah terjual hampir 200 biji kek. 

“Paling banyak saya boleh buat dalam 20 biji sehari, bergantung kepada berapa orang yang tempah. Setakat ini semuanya berjalan dengan baik, cuma saya berehat beberapa hari sebelum ini saya berehat kerana kematian bapa. 

“Boleh dikatakan ini bisnes baru, apatah lagi dengan situasi semasa pun aktiviti seni agak terbatas. Jadi mengapa tidak untuk saya ‘selit’ ikhtiar ini untuk tambah rezeki,” ujar Ayu.

Author

Share