Ramayan tak mahu dibayangi populariti M.Nasir?

PETALING JAYA: Meskipun berada dalam Perintah Perlaksanaan Pergerakan (PKP) namun ia tidak mematahkan semangat buat kumpulan Ramayan untuk terus berkarya malah dilihat semakin mengorak langkah kedepan apabila telah menghasilkan single kedua mereka yang bertajuk Puas.

Berada dibawah naungan Luncai Emas milik penyanyi tersohor Malaysia Datuk M.Nasir merupakan satu peluang keemasan buat 3 anak muda ini untuk lebih maju kehadapan dalam arena muzik di Malaysia.

Single Puas ini merupakan satu percubaan oleh Ramayan untuk memberi nafas baru kepada muzik rock Malaysia, terutamanya genre ‘rock jiwang’ yang sedang bertakhta di kalangan pendengar-pendengar massa.

Menurut Ramayan, Single kedua ini telah dipetik daripada album pertamanya  yang bertajuk Di Persiaran Cakrawala dan telah dilancarkan pada Januari yang lalu.

Lagu ini  hasil ciptaan penuh oleh bekas ahli Ramayan iaitu Naz (pemain keyboard) dan Amin (gitaris) kumpulan ini yang asalnya hanya ditulis untuk projek sampingan mereka.

“Kali pertama saya mendengar lagu ini dimain-mainkan oleh Naz di atas piano, saya terus tertarik dengan pilihan kordnya. Saya berjaya mendapatkan susunan kordnya daripada mereka dan apabila saya cuba meletakkan melodi nyanyian di atasnya, ia datang dengan begitu sahaja.

“Seolah-olah saya telah diberi ilham bukan sahaja melodi malah liriknya juga,” ujar Pi’e, vokalis dan gitaris kedua Ramayan.

Kumpulan Ramayan mengambil inspirasi daripada irama lagu-lagu balada 80an dan 90an seperti karya-karya Sudirman, Carefree, Kenny Remy Martin, Aman Shah dan yang serupa dengannya.

Menurut Ramayan, mereka berpendapat bahawa bunyi rock yang sedang dibawa oleh kebanyakan artis tempatan kini dilihat  kurang kualiti dan nilai kepuasannya dari segi kreativiti dan mesej yang disampaikan dalam lirik-liriknya.

Kumpulan ini dianggotai oleh Syafie M. Nasir selaku vokalis, Omar Saifuddin (bass) dan Que Azeem (dram) telah ditubuhkan sejak tahun 2014.

Difahamkan juga vokalis utama Kumpulan Ramayan Syafie merupakan anak keempat Datuk M.Nasir.

Walaupun ayahnya penyanyi tersohor Malaysia namun bukan menjadi faktor utama buat Syafie untuk terus dibayangi oleh populariti ayahnya itu malah mengambil peluang bersama kumpulan ini untuk mencipta namanya sendiri dan menghasilkan karya bermutu.

Album terbitan Luncai Emas ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan oleh penggemar muzik di Malaysia dan dikhabarkan peminat telah menunggu lebih 4 tahun untuk karya terbaru Ramayan.

Selain itu, koloborasi mereka bersama pengasas kugiran Sore dan pemuzik tersohor Indonesia, Mondo Gascaro telah tersebar di media sosial sebelum ini lantas menjadikan album kumpulan Ramayan semakin mendapat perhatian penggemar muzik di Malaysia.

Author

Share