Satu Malaysia kecam dia pula sokong, Erma Fatima koyak rabak diherdik netizen?


PETALING JAYA : Tindakan pengarah dan penerbit, Erma Fatima menongkah arus menyuarakan pendapat peribadi mengenai usahawan yang juga influencer media sosial, Carl Samsudin mengundang herdikan warganet.

Enggan membiarkan laman sosialnya menjadi medan orang ramai menjadi lebih tidak beradab, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali mengambil keputusan untuk menutup ruangan komen di Instagram.

Erma menegaskan, tidak mahu kenyataan yang diberikan susulan tersebarnya video yang memaparkan dirinya meninggikan suara kepada seorang warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur menjadi tular dalam konteks negatif.

“Saya tak guna bahasa tidak baik… begitu juga Carl. Mungkin peradaban, dia sedikit kasar tapi masing-masing ada prinsip. Masing-masing ada hak untuk komen.

“Platform saya bukan tempat untuk maki, terpaksa tutup komen untuk ketika ini bagi meredakan emosi anda.Saya minta ampun dan maaf kerana terpaksa tutup semua komen yang ada dalam IG. 

“Niat saya buka IG untuk seronok dan kongsi aura positif. Sejak kisah Carl ini, terlalu banyak maki-makian… saya rasa itu satu aura tidak bagus dan toksik. Saya tak perlu orang memaki dan menggalakkan lagi orang maki.

“Saya tak berminat… isu Carl ini tak perlu viral. Saya dah tua dan dah nak mati. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Dah tak ada masa nak fikir fasal viral. Anda ada prinsip anda, begitu juga saya,” katanya.

Menurut pelakon berusia 53 tahun ini, dia berasa kesal dengan sikap segelintir anak muda yang menggunakan bahasa kesat di laman sosial.

“Saya akui saya rasa ‘koyak’ dan rabak tengok anak muda bangsa kita yang konon-kononnya bercerita tentang adab tapi peradaban anda dalam sosial media… Nauzubillah.

“Saya minta maaf kepada yang suka dan tak suka, minta maaf untuk seketika ini, kita tutup dahulu komen,” katanya lagi.

Author

Share