Keadaan tidak stabil Siti Sarah dimasukkan ke ICU, Shuib mohon doa semua

PETALING JAYA : Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu memohon orang ramai mendoakan kesihatan isterinya, Siti Sarah Raissuddin yang kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaan oksigennya belum stabil lagi.

Bersempena hari Jumaat yang penuh barakah, Shuib percaya pada kekuatan doa dan berharap Sarah serta bayi dalam kandungannya tabah berdepan dugaan ini. 

Shuib memohon kepada orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan isteri dan bayinya.

“Assalamualaikum dan salam Jumaat semua. Pagi tadi isteri saya telah dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tidak berada dalam keadaan stabil. Malah, keadaannya juga tidak berapa baik.

“Saya memohon pada hari yang baik, hari Jumaat ini, agar anda semua dapat mendoakan buat Sarah dan anak dalam kandungan serta semoga dipermudahkan urusan.

“Semoga Allah memberikan kekuatan buat Sarah dan juga bayi dalam kandungan itu. Semoga Allah merahmati kita semua. Amin,” luah Shuib sebentar tadi menerusi perkongsian di Instagramnya.

Terdahulu, Sarah yang sarat hamil 7 bulan dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada Rabu, berikutan tahap oksigen yang semakin menurun.

Difahamkan, Sarah sepatutnya memotong gelang kuarantin, kelmarin namun mengalami batuk sebelum dibawa ke hospital menaiki ambulans.

Sarah sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif virus tersebut. 

Maklumat terkini yang diperolehi, Paling mengharukan, sebaik sahaja tamat bacaan Yassin doktor memaklumkan yang paras oksigen Sarah semakin baik dan akan melakukan pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan pukul 2 petang nanti.

Marilah kita berdoa agar pembedahan tersebut dapat menyelamatkan mereka berdua.

Memang berat ujian yang perlu dihadapi oleh Shuib sekeluarga.

Sekadar info, pasangan selebriti ini berkahwin pada 2011 dan memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Author

Share