Aizat Amdan tangguh hasrat ke Los Angeles?

PETALING JAYA : Rentetan pengekangan penularan pandemik COVID-19, penyanyi Aizat Amdan, 32, mengambil pendekatan untuk menangguhkan hasratnya ke Los Angeles, Amerika Syarikat.

Perancangan Aizat itu adalah untuk menyuntik elemen dan nafas baru untuk lagunya yang berjudul The Last Thing. 

Aizat yang kini ingin dikenali dengan nama pentas AI.Z membuat keputusan untuk menangguhkan perancangannya sehingga keadaan kembali mengizinkannya ke luar negara.

“Buat masa ini promosi di Los Angeles perlu ditangguhkan kerana keadaan sekarang ini kurang mengizinkan saya untuk ke luar negara, jadi saya hanya fokus pada program yang dijalankan di sini. 

“Jujurnya sekatan pergerakan ini sedikit sebanyak ada memberi kesan kepada semangat saya untuk mempromosikan lagu saya di sana sebab kalau boleh ke Los Angeles,.

“Ini kerana mungkin saya akan dapat jumpa orang baharu dan menimba pengalaman baharu tapi buat masa sekarang, saya perlu bersabar dan patuhi undang-undang.

“Dan sudah tentu saya perlu menjaga keselamatan saya sendiri dan keluarga. Jadi walau macam mana  pun, saya perlu menangguhkan perancangan ke sana,” katanya.

Berkongsi mengenai maklum balas lagu ciptaannya bersama Yuna terbitan Kuizz Shah itu, Aizat berkata dia tidak menyangka ia akan menerima sambutan yang positif. 

“Sejak lagu The Last Thing dilancarkan pada Jun lalu, Syukur…Alhamdulillah jumlah ‘streaming’ sudah mencecah 500,000, dan muzik video lagu itu sudah mencecah lebih 200,000 tontonan di saluran YouTube. 

“Sememangnya ini adalah permulaan yang sangat bagus bagi saya, kerana saya tidak pernah menyangka ia akan menerima sambutan sebaik ini. Alhamdulillah,” katanya. 

Author

Share