Formula Faizal Hussein kekal relevan pada usia 54 tahun


PETALING JAYA : Menjengah ke usia 54 tahun, aktor Faizal Hussein menjelaskan tidak menpunyai formula tertentu untuk kekal relevan dalan industri seni tempatan.

Faizal berkata, selain mengekalkan momentumnya sebagai pelakon, dia juga memastikan penampilan dan nilai ekslusifnya terus dijaga.

“Cara saya mengekalkan nilai ekslusif adalah dengan memastikan diri tidak memberikan semuanya secara 100 peratus. Tiada formula rahsia, cuma itu yang saya terapkan dalam kehidupan.

“Pada usia begini, saya masih menjaga penampilan dan mutu lakonan sama dalam setiap projek. Bukan mudah sejujurnya untuk bersaing dengan aktor-aktor yang berkecimpung dalam bidang seni.

“Kita perlu seiring dengan peredaran zaman. Elemen-elemen begitu perlu dititik beratkan bagi mengekalkan momentum dalam bidang lakonan,” kata Faizal.

Faizal ditemui majlis sidang media virtual drama premium 12 episod yang berjudul I-Tanggang yang bakal menemui penonton bermula 13 September, jam 9 malam di saluran 108 Astro Citra. 

Selain Faizal, drama premium ini turut menampilkan Sherie Merlis, Faizal Hussein, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane, Rashidi Ishak dan ramai lagi.

I-Tanggang merupakan idea asal Wan Hasliza Wan Zainuddin yang mengupas isu kekeluargaan dekat dengan hati penggemar drama tempatan. 

Malah, pengarah turut menerapkan kepentingan kesihatan mental masyarat masa kini.

“Sejujurnya saya berasa berbangga berada sebaris dengan rakan-rakan seperjuangan untuk drama bersiri yang lain daripada yang lain ini.

“Di samping memberi pendedahan tentang realiti masa kini, kita turut mengupas mengenai masalah mental yang kian meruncing,” ujar Faizal.

Author

Share