Tiada niat ‘show off’ kecantikan anak, Fiza Halim ada sebab sendiri…


PETALING JAYA : Pelakon, Fiza Halim berkongsi sudah lima bulan tidak bertemu dengan anak-anaknya iaitu Feera Aryanna dan Feeya Adyrra. 

Fiza atau pemilik nama penuh, Siti Zaidatuk Fiza Abd. Halim berkongsi mengenai hal itu rentetan teguran netizen yang meminat pelakon itu henti memuat naik gambar anak-anaknya. 

Fiza menjelaskan tidak berniat untuk menarik perhatian warganet yang memuji kecantikan anak-anaknya, sebaliknya berkongsi rasa rindu menerusi medium sosial itu. 

“Sudah lama sebenarnya saya tidak bertemu dengan anak-anak kerana di bawah jagaan bekas suami yang pertama. Bukan apa, saya sendiri memilih untuk menjaga kesihatan mereka kerana belum menerima suntikan vaksin.

“Kami akhirnya bertemu selepas lima bulan kerana anak ingin memotong rambut. Oleh itu, saya pun memuat naik gambar anak di Instagram. 

“Sejujurnya saya tidak mempunyai niat untuk menunjuk-nunjuk anak sebaliknya sekadar perkongsian saja. Tidak sangka apa yang dimuat naik itu mendapat perhatian ramai. 

“Sehingga ada yang menghantar mesej peribadi meminta saya untuk tidak berkongsi. Kata mereka, lebih baik saya jangan kongsi. Takut ada pihak yang dengki atau kurang senang,” kata Fiza. 

Dalam pada itu, bekas ahli kumpulan Elite ini meluahkan rasa syukur kerana mempunyai bekas suami pertama iaitu Ahmed Farriq Zainul Abidil pandai menjaga anak mereka. 

“Kalau sebelum ini, memang selalu jumpa juga tapi sejak pandemik ini, memang kurangkan jumpa. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur ada bekas suami yang baik. 

“Saya hargai bekas suami yang seorang bapa bertanggungjawab dan pandai mengurus serta menjaga anak-anak kami. Susah nak dapat lelaki macam dia,” katanya. 

Author

Share