12 hari penuh cabaran akibat COVID-19, Eina bersyukur suami kini pulang ke pangkuan keluarga

PETALING JAYA : Datin Paduka Eina Azman meluahkan rasa bersyukur suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah yang dijangkiti virus COVID-19 peringkat empat dibenarkan pulang ke rumah. 

Eina atau pemilik nama penuh, Ainur Syakina Azman, 26, berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan suaminya sepanjang 12 hari dijangkiti virus itu. 

“Assalamualaikum…Syukur Alhamdulillah..selepas 12 hari yang cukup mendebarkan buat diri saya dan keluarga, akhirnya suami saya dibenarkan pulang tanpa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Paru-paru suami turut terjejas sehingga 30 peratus dan kadar oksigen turun naik. Tidak dapat digambarkan rasa hilang arah apabila suami dimasukkan ke hospital itu. 

“Hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan saya ketika itu, tidak senang duduk dibuatnya. Saya perlu memikirkan apa langkah yang harus dilakukan serta dalam masa yang sama mencari petua untuk memastikan suami kembali sihat. 

“Saya mencuba pelbagai ikhtiar contohnya seperti ketam nipah, air untuk menaikkan paras oksigen dan banyak lagi. Alhamdulillah..suami masih lemah namun dibenarkan pulang pada hari ini,” kata Eina.

Eina bergelar isteri kepada usahawan, Kaiser Gurmeet pada 31 Ogos 2014 dan turut disahkan negatif penyakit COVID-19 sejak beberapa hari lalu. 

Pasangan itu dikurniakan pasangan kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef.

Dikesempatan itu, pelakon drama bersiri The Maid itu turut berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan suami serta keluarganya. 

“Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan kawan-kawan serta semua pengikut di media sosial yang memberikan sokongan moral. 

“Tidak lupa kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhan suami saya yang menerima rawatan di hospital. Alhamdulillah….terima kasih semua diatas doa buat kami,” kata Eina. 

Author

Share