Orang macam itu,tidak bertanggungjawab – Che Ta


PETALING JAYA : Aktres, Rozita Che Wan tegas dengan pendirian untuk tidak menerima tawaran daripada produksi yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan untuk meneruskan penggambaran. 

Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta enggan bekerjasama dengan tenaga kerja yang belum lengkap vaksin COVID-19 biarpun negara telah melonggarkan syarat buat industri kreatif.

Tegasnya, biarpun syarat telah dilonggarkan buat industri kreatif bermula hari ini, namun semua orang yang terlibat dalam penggambaran diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

“Bagi saya, orang macam tu tak bertanggungjawab. Bukan saja pada diri sendiri tetapi orang lain juga. Saya sendiri ada produksi nak roll drama dan berbincang mengenai perkara itu. 

“Biarpun kerajaan sudah melonggarkan syarat buat industri kreatif, pihak produksi seharusnya mengikut piawaian yang ditetapkan yang mana semua terlibat perlu lengkap vaksinasi.

“Ada sebab peraturan itu dibuat, tidak mahu hanya disebabkan satu individu mendatangkan mudarat kepada orang lain pula. Bukan saja dari segi kesihatan malah kos juga,” ujar Che Ta. 

Che Ta berkata demikian ketika sidang media secara virtual pelancaran warna baru Himaya Premium Hijab Medical Face Mask pada Rabu.

Terdahulu, pelakon Fauziah Nawi membuat kenyataan yang mana seorang penerbit dan pengurus produksi yang memandang lewa syarat yang ditetapkan kerajaan iaitu setiap pelakon tanpa vaksin lengkap untuk bekerja.

Fauziah mengakui bimbang kelonggaran yang diberikan ditarik balik jika pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengetahui perkara itu.

Author

Share