Tidak boleh pentingkan diri, bagi kesan kepada semua – Beto Kusyairy

PETALING JAYA : Pelakon, Beto Kusyairy menegaskan pihak produksi dan barisan artis untuk tidak mementingkan diri dengan tidak mematahui produser operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Beto berpendapat, tindakan tidak bertanggungjawab itu memberi impak negatif bukan saja kepada individu itu sendiri, malah turut memberi kesan kepada seluruh produksi. 

“Tidak boleh pentingkan diri sendiri saja, jangan sehingga apa yang dilakukan itu menyusahkan orang lain. Jika diri belum lengkap vaksin, ia boleh memberikan impak negatif kepada semua. 

“Saya memikirkan mengenai isteri dan orang tua saya yang tinggal bersama di rumah. Walaupun saya sudah lengkap vaksin, namun sekiranya dijangkiti, saya mungkin menjadi ‘pembawa’.

“Oleh itu, saya memilih untuk tidak menerima tawaran daripada produksi yang tidak mengikut SOP yang telah ditetapkan. Sebelum menghantar ‘proposal’ pihak produksi perlu menyenaraikan catatan kesihatan dan sebagainya.

“Kita perlu berdisiplin dalam mengekang penularan virus COVID-19 ini kerana kita perlu hidup dengannya. Apa pun, ini adalah kerjaya kami jadi perlu patuhi segala syarat dan undang-undang yang ditetapkan,” ujar Beto.

Beto mengulas mengenai sikap segelintir pihak industri kreatif yang memandang lewa syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan ketika sesi sidang media virtual drama bersiri Penghulu Interim pada Rabu. 

Terdahulu, pelakon Fauziah Nawi membuat kenyataan yang mana seorang penerbit dan pengurus produksi yang memandang lewa syarat yang ditetapkan kerajaan iaitu setiap pelakon tanpa vaksin lengkap untuk bekerja.

Fauziah mengakui bimbang kelonggaran yang diberikan ditarik balik jika pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengetahui perkara itu.

Selain Beto, drama bersiri arahan Aloy Paradoks yang bersiaran setiap hari Jumaat hingga Ahad jam 9 malam ini turut menampilkan Nadiya Nissa, Issey, Roy Azman dan ramai lagi.

Author

Share