Perli memerli sampai koyak, Sharnaaz dan Caprice akhirnya berdamai?

PETALING JAYA : Enggan memanjangkan isu lagi, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad mengakui gurauannya terhadap Caprice adalah keterlaluan.

Aktor berusia 36 tahun itu membuat permohonan maaf kepada Caprice menerusi video yang dimuat naik di Instastory pada Jumaat.

Dalam pada itu, Caprice menerusi laman Instagram miliknya memberitahu dia sudah menerima permohonan maaf tersebut.

“Selamat datang ke Damansara. Pihak kita terima permohonan maaf tersebut dan Caprice pun kalau lebih-lebih tadi minta maaf sebab kita pun belum makan tengahari lagi… lapar.

“Insya-Allah selepas kuarantin Caprice sampai dan minum sama-sama,” ujarnya.

Terdahulu, gelagat Sharnaaz Ahmad mengusik rakan selebritinya iaitu Shukri Yahya semasa Instagram live pada malam Khamis akhirnya mengundang rasa kurang senang Caprice.

Walaupun Sharnaaz tidak menyebut sebarang nama, namun filter memakai serban dan slang gaya percakapannya semasa bersiaran dipercayai menyerupai penyanyi rap berkenaan.

Gurauan Sharnaaz itu ternyata membuatkan Shukri tidak tahan ketawa hingga dia bertindak menyembunyikan wajahnya.

Enggan berdiam diri, Caprice segera memuat naik video yang sama di Instagram dengan suntingan menambah klip drama lakonan Sharnaaz berjudul Suamiku Encik Sotong.

Perbalahan antara Sharnaaz Ahmad dan penyanyi rap Caprice nampaknya cepat sejuk apabila pelakon itu segera tampil menyelesaikan salah faham antara mereka.

Mahu menyelesaikan masalah antara mereka secara peribadi, Sharnaaz turut memohon maaf secara terbuka kepada Caprice.

“Sejak pagi, semua netizen tahu yang aku ada isu dengan Caprice. Insya-Allah aku dan Caprice akan selesaikan secara elok di belakang.

“Aku rasa, secara peribadi apa gurauan dari Jordan sampai sekarang… mungkin agak keterlaluan. Aku sebagai orang yang lebih matang, aku mohon maaf.

“Selain daripada itu, terpulang kepada pihak dia. Biar urusan ini aku selesaikan dengan dia,” kata Sharnaaz.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, pulang ke Malaysia pada 6 September selepas dua bulan berada di Mesir dan Jordan.

Author

Share