Enggan berahsia, Zarina Anjoulie kongsi kes mahkamah terlibat dadah?

PETALING JAYA : Pelakon, Zarina Anjoulie mengambil pendekatan untuk berlaku jujur kepada netizen dan pengikut di Instagram berhubung pertuduhan yang disabitkan ke atas dirinya. 

Dia disabitkan kesalahan kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan. 

“Tiga hari lepas semasa sesi siaran langsung di Instagram saya memang cakap akan ke mahkamah hari ini. Saya tidak mahu tipu dan memilih untuk berterus terang kepada pengikut di Instagram.

“Apa pun saya nak berterima kasih pada ‘followers’ kerana sentiasa memberikan sokongan. Saya tidak menjangka mereka tetap ada bersama saya selain masih memberikan kata-kata semangat. Terharu saya dibuatnya.

“Saya memang tak nak sorok pun mengenai perbicaraan kes ini. Saya nak lalui ini tanpa berahsia. Saya lebih selesa untuk bersikap telus dan berkongsi pada semua. 

“Bagi saya mudah, apa saja berlaku saya beritahu terus. Saya bukan nak bangga. Kalau tanya tak berasa malu kah, mestilah malu. Tapi saya nak jujur,” katanya.

Menurut laporan Harian Metro, Zarina enggan berahsia kepada pengikutnya di Instagram dan berkongsi perkembangan semasa kes ketika perbicaraan.

Terdahulu Zarina diwakili peguam Ahmad Faiz Munawar dari Tetuan Nurul Hafidzah & Associates dan Fadhli Sutris dari Tetuan Fadhli Sutris & Associates.

Menerusi perbicaraan itu, Zarina mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 7 Oktober depan untuk serahan dokumen daripada pihak pendakwan kepada pasukan pembelaan.

Author

Share