Bahagia tular di Indonesia, Eza Edmond kini menjadi buruan

PETALING JAYA : Nama penyanyi, Eza Edmond mula meniti di bibir ramai apabila single yang dilancarkan pada tahun 2017 berjudul Bahagia kembali tular di Indonesia ketika ini.

Bagi gadis berusia 23 tahun ini, dia sebenarnya tidak menyangka sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sana kali ini begitu dahsyat sehinggakan ramai yang meminta kebenaran untuk merakamkan semula lagu tersebut.

“Ini memang sesuatu yang di luar jangkaan. Dulu lagu ini sudah tular di sana selepas dilancarkan berdasarkan komen yang mereka tinggalkan pada muzik video. Ada juga yang memuat naik video sendiri sehingga mendapat jutaan tontonan.

“Kini Bahagia sekali lagi tular di sana. Pelbagai versi sudah dibuat oleh pelbagai pihak dan ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada saya yang masih belum dikenali ramai,” kata Eza.

Semuanya bermula apabila lagu tersebut diolah semula oleh beberapa orang pemuzik  popular di sana dalam pelbagai versi termasuklah remix dan sebagainya.

Antara pemuzik yang tertarik dengan lagu berkenaan termasuklah DJ Komang yang sememangnya popular di sana. Muzik versi remix yang diadun mendapat tular di aplikasi TikTok seterusnya menambahkan lagi populariti lagu berkenaan. Malah, versi remix yang dibuat juga dimuat naik ke YouTube dan ditonton lebih 20 juta kali.

Sehingga ke hari ini, sudah lebih 20 syarikat muzik dan lebih 30 penyanyi dari negara seberang meminta kebenaran daripada syarikat rakaman naungannya, Sheikh Qalam Records untuk merakamkan semula lagu berkenaan.

Ada di antara mereka sudah merakamkan semula lagu berkenaan dalam bahasa Jawa dan pelbagai bahasa kaum di sana serta mengeluarkan semula di YouTube. Ada juga yang meminta kebenaran untuk mengubah lagu ini kepada versi lain seperti jazz, dangdut, rock dan akustik.

“Tak tergambar dengar kata-kata apabila lagu ini menjadi sebegitu besar di sana ketika ini. Saya anggap ini rezeki kepada semua yang terlibat dalam pembikinan Bahagia. Mereka bekerja keras dahulu dan hasilnya baru dilihat sekarang.

“Setidaknya dengan sambutan yang diberikan membuatkan saya mahu bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri,” kata anak kelahiran Papar, Sabah ini lagi.

Tambah Eza lagi, dia gembira apabila lagu berkenaan juga dinyanyikan oleh Bulan Sutena, salah seorang penyanyi baru di salah sebuah stesen TV di sana.

Impak daripada persembahan berkenaan, semakin ramai yang mula mencari penyanyi asal walaupun lagu berkenaan ditukar tajuk kepada Setiap Yang Ku Lakukan Untuk Mu di sana.

Author

Share