Dahi Atiq Azman koyak terbelah dua gara-gara mandi sungai?

PETALING JAYA: Tanpa diduga, bermula keseronokan bertukar tragedi apabila pelakon Atiq Azman telah mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti riadah di pusat rekreasi pinggir ibu kota.

Difahamkan, kecelakaan itu berlaku apabila Atiq sedang bermandi-manda di Sungai Hulu Langat dan kepalanya terkena batu tajam di lokasi berkenaan lalu dahinya terkoyak hingga mengakibatkan luka besar pada dahinya.

“Kepada sesiapa yang tanya Atiq kenapa tak kemas kini and aktif sangat beberapa hari ni di media sosial, sebab ada satu tragedi yang jadi masa Atiq mandi sungai dua hari lepas

“Hati-hati okay walau kat mana pun korang, tolong berjaga-jaga sebab kita tak tahu benda macam ni boleh jadi,” kata Atiq

Ekoran daripada kejadian ini, pelakon Epilog: Aku Yang Kau Gelar Isteri ini telah dikejarkan ke KPJ Ampang Specialist hospital untuk menerima rawatan susulan.

Difahamkan, Atiq telah menerima rawatan istimewa yang tidak menggunakan kaedah jahitan, ia bertujuan untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka tersebut.

“Atiq tidak menerima sebarang jahitan, pihak hospital guna rawatan teknologi istimewa, mereka gunakan gam saja pada luka tersebut,” ujar pengurusnya pada Waaw.my

Menurut pengurusnya, Atiq terpaksa ditahan di wad selepas menerima rawatan tersebut, ia bertujuan untuk pemantauan.

“Dia terpaksa bermalam sehari di wad kerana ia merupakan prosedur yang ditetapkan oleh pihak hospital, jadi terpaksa la kami ikut,” kata pengurusnya pada Waaw.my.

Atiq kini dikhabarkan terpaksa berehat beberapa hari sebelum dibenarkan untuk menyambung semula penggambaran yang tertangguh.


Dia juga memberikan pesanan kepada peminatnya agar sentiasa berwaspada dalam melakukan sebarang aktiviti riadah kerana takut akan berlaku perkara yang tidak diingini.

“Yang penting sebelum buat apa apa doa dan bismillah dulu, jangan buat benda yang lain dari lain sangat, pesanan ni untuk diri Atiq jugak. Doakan Atiq cepat sembuh ya,” tulis Atiq dalam Instagramnya.

Author

Share