Malaysia lebih baik dari Indonesia? – Yuka Kharisma

PETALING JAYA: Meskipun namanya belum mekar di Malaysia, namun ia bukan penghalang buat penyanyi Yuka Kharisma untuk meneruskan kariernya pada tahun 2021.

Yuka Kharisma yang merupakan artis kelahiran Acheh, Indonesia ini, melihat potensi kariernya di Malaysia lebih cerah berbanding negara kelahiranya.

Terbaharu, dia telah melancarkan single sulung yang berjudul ‘Melihatmu Bahagia.’ Lagu yang bergenre balada sinematik ini merupakan nukilan Yuka sendiri bersama pemuzik dan komposer Ahmad Jeffny yang merupakan suaminya.

Yuka sebelum ini pernah merangkul satu anugerah dalam kategori Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) ke-15.

Apa yang membanggakan lagi, apabila Yuka kini telah berada dibawah satu naungan syarikat muzik terkemuka di Malaysia, ia satu permulaan yang baik buat perjalanan kariernya.

“Akhirnya impian saya tercapai juga untuk melancarkan single pertama di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, setinggi-tinggi terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak label terhadap karya saya,” katanya.

Difahamkan juga, dia sudah lama menetap di Malaysia dan telah berkahwin dengan jejaka tempatan bernama Ahmad Jeffny.

“Perjalanan seni saya agak panjang sebenarnya, ia bermula pada tahun 2008 lagi dengan menyertai pertandingan Indonesian Idol

“Kemudian menjadi artis di negara asal, Indonesia, sehingga pada suatu hari saya mendapat jemputan melakukan persembahan di Malaysia dan bermulalah segalanya.

“Anugerah yang diraih di APM telah membuka mata ramai tentang kewujudan saya, namun masih banyak yang perlu saya tempuhi.

“Konsert bersama Anuar Zain dan Bunga Citra Lestari pada tahun 2018 merupakan di antara kenangan terindah sepanjang kerjaya saya,” katanya.

Difahamkan, single ‘melihatmu bahagia’ merupakan kisah pengorbanan ibu untuk membesarkan anaknya, dan dia telah mendedikasikan buat ibunya yang berada di kampung.

“Melihatmu Bahagia adalah dedikasi serta penghargaan saya terhadap ibu, ia menceritakan tentang betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anaknya”, ujarnya.

Mesej yang saya ingin sampaikan adalah supaya kita sentiasa mengingati jasa ibu kerana tak mungkin kita dapat membalasnya, dan hargailah setiap saat yang diberikan bersama.

Difahamkan, dia yangturut berkongsikan bahawa pernah satu ketika mengalami putus asa dalam karier nyanyiannya, atas dorongan keluarga telah membuatnya bangkit untuk terus berkarya semula.

“Orang tua saya yang banyak mendorong kerjaya saya malah pernah satu ketika saya hampir berputus asa, namun suami banyak memberikan semangat dan motivasi sehingga ke saat ini untuk terus mempejuangkan muzik saya,” tambahnya.

Author

Share