Che Ta takut buat pemeriksaan kesihatan?

PETALING JAYA : Pelakon, Rozita Che Wan mengakui kesedaran mengenai kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan timbul apabila terdapat ahli keluarga yang menghidap kanser payudara.

Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta berkata, ibunya juga konsisten dalam melakukan pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan. 

Malah, Che Ta juga menyedari kepentingan ujian kesihatan apabila hampir menjengah usia setengah abad.

“Mungkin saya tidak pernah kongsikan sebelum ini, tetapi ada beberapa ahli keluarga terdekat yang menghidap kanser payudara, jadi sememangnya penting untuk melakukan ‘medical check up’.

“Luaran nampak seperti sihat tetapi dalaman sudah merebak. Itu bahayanya kerana kita tidak dapat melihat apa yang berlaku pada bahagian dalaman badan.

“Setiap enam bulan ikut hantar mak buat pemeriksaan kesihatan. Kita yang hantar dia tapi kita tak buat pun. Tapi itulah saya sebenarnya takut. 

“Feeling muda lagi. Bila dah dengar nasihat daripada pihak Majlis Kanser Nasional (MAKNA), saya rasa memang dah kena buat pemeriksaan ‘mammogram’. Umur pun dah dekat 50-an,” ujar Che Ta.

Untuk makluman, ‘mammogram’ adalah salah satu ujian yang dijalankan bagi mengesan perubahan pada tisu payudara dengan menggunakan mesin x-ray yang direka khas.

Sempena pelancaran warna baharu, Himaya mengadakan Kempen Kutipan Dana Untuk MAKNA. Setiap tahun, Oktober adalah Bulan Kesedaran Kanser Payudara dengan mengadakan Kempen ‘Pink Ribbon’.

Ia adalah simbolik dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya kanser payudara dan keperluan untuk mendapatkan rawatan awal.

Author

Share