Jalani kuarantin di Jakarta, Nourul Depp hijrah ke Indonesia

PETALING JAYA : Penyanyi, Nourul Depp yang bakal memulakan kehidupan baru di Bali, Indonesia sedang menjalani proses kuarantin selama lapan hari di negara jiran itu.

Nourul atau pemilik nama penuh Noorul Huda Abdul Wahab mengucapkan selamat tinggal kepada negara kelahirannya sambil berkongsi paparan ketibaan di Jakarta, Indonesia.

“Alhamdulillah…selamat ‘check in’, terima kasih kepada semua yang mendoakan. Bukan mudah berjalan dengan anak-anak yang masih kecil, namun Allah mudahkan.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pekerja di lapangan terbang dan pekerja imigresen di Malaysia yang banyak membantu. Saya sayang semuanya!

“Untuk semua, penghijrahan ini bukan sebab keadaan apa-apa, tapi memang dah rancang dari dulu lagi. Eric (suami) umur 55, sebab itu dapat pergi.

“Tahun lalu, tak dapat sebab mereka tutup untuk urusan visa. Tahun ini, mereka buka, Alhamdulillah kami dapat pergi,” katanya.

Pada Jun lalu, Nourul memaklumkan mereka sekeluarga bakal berhijrah ke Bali pada pertengahan Julai, selepas lama berhajat untuk berbuat demikian. 

Dia dan suaminya, Eric Daniel Depp berkahwin pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella 2.

Sementara, menerusi perkahwinan terdahulunya bersama komposer Ajai, Nourul dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Ayu Nazirah, 23.

Author

Share