Kumpulan Dolla di New York Times Square

PETALING JAYA : Populariti yang dikecapi kumpulan Dolla melayakkan dia menjadi artis ketiga dari negara ini yang diangkat di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat, hari ini. 

Di sebalik limpahan kerdipan cahaya glamor yang mengulit kehidupan mereka, Dolla menjayakan kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify. 

Kumpulan yang mula mencipta nama menerusi lagu Dolla Make You Wanna ini, meluahkan rasa teruja dengan penghargaan itu.

“Kami tak mampu nak luahkan perasaan sekarang. Tiada kata yang dapat menggambarkan keterujaan saya ketika ini.

“Ia satu penghormatan yang besar buat kumpulan nyanyian seperti kami yang baru hendak bertatih dan kami harap kami akan dapat terus memenuhi harapan peminat,” kata Sabronzo mewakili Dolla.

Terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 negara, di mana Dolla sebagai wajah hadapan adalah wakil bagi senarai lagu EQUAL Malaysia dan Singapura. 

Kumpulan Dolla yang ditubuhkan pada tahun 2019 dianggotai Syasya, Sabronzo, Angel dan Tabby.

Dolla menggegarkan industri muzik tempatan dengan penampilan mereka yang agak berani serta gaya persembahan yang mengagumkan, tahun lalu.

Selepas menerajui carta muzik tempatan dengan single pengenalan mereka Dolla Makes You Wanna, kumpulan ini terus mencuri perhatian penggemar muzik tanah air dengan single Impikan dan Watch Me Glow.

Terdahulu, papan iklan New York Times Square pernah memaparkan wajah penyanyi Yuna, dan bintang baharu Layla Sania bulan lalu.

Author

Share