Diuji Allah, anak baru lahir 3 hari meninggal dunia


PETALING JAYA : Vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat yang hanya sempat bergelar bapa selama tiga hari berkongsi khabar duka anak sulungnya itu meninggal dunia sebentar tadi.

Berita duka itu dikongsikan sendiri Azmi atau nama lengkapnya Khairul Azmi Mohd. Saat, 34, menerusi hantaran terkini dalam Instagram miliknya.

“Allah lebih menyayanginya. Afnan tunggu kami di syurga ya,” luah Azmi.

Terdahulu, belum pun seminggu menyambut kelahiran anak sulung selepas penantian selama 10 tahun, penyanyi Azmi dan Nazira teruji dengan masalah kesihatan anak mereka Khairul Afnan dilaporkan mengalami masalah fungsi otak.

Ujar vokalis Caliph Buskers itu, Afnan terpaksa dipakaikan alat bantuan pernafasan sejak hari pertama dilahirkan pada 27 September lalu selepas doktor mengesyaki otak bayi itu tidak berfungsi kerana dia tidak bergerak.

Ikutkan perancangan, doktor sepatutnya melakukan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk melihat keadaan otak bayi itu, namun perancangan Tuhan mengatask segala-galanya.

“Mohon tolong doakan Afnan kerana dia kurang sihat. Saya dan isteri sedang diuji ketika ini. Allah mudahkan urusan kami ketika proses mengandung namun ketika ini kami diuji.

“Allah SWT meletakkan rasa teruja dalam hati kami tetapi sekarang Allah ingin menguji kami. Itulah Allah pemilik sekalian alam. Dia yang merancang dan maha mengetahui segalanya.

“Mungkin ada antara kalian yang Allah makbulkan doanya. Tolong doakan buat Afnan agar sihat dan Allah berikan yang terbaik buat saya dan isteri.

“Apa pun yang berlaku, kami redha dengan ketentuan takdirNya. Amin Ya Rabbal Alamin,” luah Azmi.

Terdahulu, penyanyi Hanya NamaMu itu berkongsi berita gembira menerusi laman Instagram dengan kehadiran cahaya mata sulung selepas sedekad menanti.

Malah, dia juga menganggap rezeki Allah SWT itu sebagai hadiah terbaik sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-37 beberapa hari lalu.

Azmi mendirikan rumah tangga dengan Nazirah yang juga cacat penglihatan pada 2011.

Author

Share