Paling sakit ditikam dari belakang – Meerqeen

PETALING JAYA : Melebarkan sayap ke dalam bidang nyanyian, penyanyi Meerqeen menjadikan pengalaman kegagalan cinta lalu sebagai inspirasi untuk menjiwai lagu Menunggu ciptaan Aliff Iskandar.

Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 20, mengakui pernah dikecewakan berdasarkan pengalaman cinta lalu dan mengambil masa dua tahun untuk pulih.

“Pada pendapat peribadi saya, lelaki mengambil masa untuk pulih daripada kecewa bercinta berbanding perempuan. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri kerana ambil masa dua tahun juga untuk pulih. 

“Hubungan terakhir memberikan impak yang mana kami tidak pernah bergaduh besar atau menggunakan kata-kata kesat. Sebaliknya, kami putus kerana dia mempunyai orang lain apabila sambung belajar.

“Paling sakit perasaan ditikam dari belakang, kerana kita bercinta bukan sekadar suka-suka sebaliknya untuk masa hadapan. Bukan bermakna ingin terus berkahwin tetapi ada perancangan ke fasa seterusnya.

“Aliff memberikan beberapa buah lagu sebagai pilihan namun saya memilih Menunggu kerana dapat menjiwainya,” ujar Meerqeen. 

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Angkara Cinta ini berkongsi, mempunyai minat mendalam dalam bidang nyanyian namun rezeki lebih berpihak kepada cabang seni lain.

Menunggu adalah kerjasama antara Indigital Music dan Civicas Network Sdn Bhd. Lagu ini boleh distrim melalui semua platform digital dan lirik video boleh ditonton melalui Youtube Indigital Music bermula 9 Jumaat malam.

Author

Share