Wanita tertekan sukar teruskan hidup kerana Squid Game?

KEJAYAAN siri terbitan Netflix, Squid Game yang telah menjadi kegilaan seluruh dunia nampaknya dicemari dengan satu insiden yang tidak disangka.

Perkara ini berlaku melibatkan nombor telefon yang dipaparkan dalam Kdrama Korea Selatan itu.

Seorang ahli perniagaan wanita di negara berkenaan dilaporkan menerima gangguan panggilan telefon dan mesej daripada orang ramai yang meminta untuk bermain permainan itu sehingga membuatkan dirinya sukar untuk meneruskan kehidupan seharian.

Squid Game, siri yang mencatatkan jumlah tontonan tertinggi dalam sejarah Netflix setakat ini dilaporkan akan mengedit semula babak yang mengandungi nombor telefon berkenaan.

“Ini adalah nombor yang saya gunakan selama lebih dari 10 tahun, jadi saya agak terkejut,” pemilik nombor itu memberitahu media Korea Selatan, Money Today.

“Terdapat lebih daripada 4,000 nombor yang saya terpaksa padam daripada telefon saya.

“Pada mulanya saya tidak tahu mengapa, tetapi kawan saya memberitahu bahawa nombor saya keluar dalam siri Squid Game dan ketika itulah baru saya sedar.”

Ahli perniagaan dari Seongju, Korea Selatan itu berkata bahawa gangguan panggilan dan mesej yang diterimanya “sehingga sukar bagi saya untuk meneruskan kehidupan seharian”.

Media Korea Selatan melaporkan bahawa wanita itu telah menolak tuntutan pampasan sebanyak 5 juta won (kira-kira RM17,500) dari Netflix.

Walaupun Netflix belum mengulas lanjut mengenai laporan mengenai pampasan, Netflix telah meminta peminat siri itu untuk tidak memanggil nombor itu dan mengesahkan ia akan mengedit digit daripada rancangan itu.

Ia berkata: “Bersama-sama dengan syarikat produksi, kami sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara ini, termasuk mengedit adegan dengan nombor telefon jika perlu.”

Squid Game yang kini berada di landasan yang betul untuk menjadi siri yang paling banyak ditonton, mengatasi siri-siri lain seperti The Crown dan Bridgerton, berjaya menduduki tempat pertama di 90 negara dalam masa 10 hari selepas disiarkan.

Siri itu mengisahkan sekumpulan orang-orang yang banyak berhutang dijemput untuk memainkan satu siri cabaran yang menawarkan wang kemenangan berjumlah 45.6bn won.

Peserta perlu mengalahkan 455 orang lain untuk memenangi wang semasa bermain permainan kanak-kanak seperti Lampu Merah, Lampu Hijau, tetapi risikonya jika kalah, peserta akan mati.

Squid Game kini disiarkan secara global di Netflix.

Kredit: Sky News

Author

Share