Dadah: Pelakon, pengarah, penolong pengarah mengaku bersalah

PETALING JAYA : Tiga penggiat seni yang disabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar,Perak.

Menurut laporan Harian Metro, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 28; pengarah, Mohd Latiff Zami, 49; dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki dadah, pada Ahad lalu.

Menurut pertuduhan,Niezam didapati memiliki 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis di rumah di Taman Chandan Putri, di sini, 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.

Sementara Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing didapati memiliki 0.3 gram dadah jenis Cannabis dan 0.38 gram Methamphetamine di lokasi yang sama.

Majistret menetapkan jaminan RM3,000 kepada Muhamad Niezam, RM2,600 kepada Mohd Latiff dan RM3,200 kepada Saiful Zaidrin yang masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah memiliki dadah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa. Foto:Sinar Hairan

Dalam laporan Berita Harian, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pelakon lelaki  itu serta pengarah dan penolongnya direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketika ditahan ketiga-tiga suspek berada di sebuah rumah di Taman Chandan Putri 2, di Kuala Kangsar dan hasil pemeriksaan menjumpai bahan disyaki ganja dianggarkan seberat 1.45 gram selain syabu dianggarkan seberat 0.38 gram dengan nilai rampasan dadah RM270. Malah botol plastik yang diubah suai untuk kegunaan menghisap dadah turut dirampas.

Saringan ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah Tetra Hydrocannibol (TCH), Methamphetamine dan Amphetamine. Lebih mengejutkan, seorang daripada suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau masing-masing bersabit jenayah dan dadah.

Author

Share