FINAS teliti isu salah guna dadah dan kecuaian SOP

PETALING JAYA : Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid menjelaskan pihaknya sedang membuat siasatan terperinci terhadap dua isu yang difahamkan berlaku di lokasi penggambaran. 

Zakaria menerusi kenyataan di akaun Facebook miliknya memaklumkan, pihak Finas menyiasat mengenai kecuaian pematuhan Standard Operation Procedure (SOP) berikutan penularan COVID-19 dan salah guna dadah di set penggambaran. 

“Kenyataan tentang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan kes dadah. Finas sedang membuat siasatan terperinci berikutan kes penularan COVID-19 dan salahguna dadah di lokasi penggambaran. 

“Jika terbukti kecuaian pematuhan SOP dan salahguna dadah, Finas akan segera menarik balik kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP). Penerbit yang menerima Dana Kandungan Digital (DKD) akan dibatalkan pembiayaan kerana melanggar peraturan dalam perjanjian yang dimeterai,” katanya. 

Zakaria turut menjelaskan, Finas juga akan senarai hitamkan penerbit, tenaga produksi dan pelakon yang terbukti terbabit dalam isu berkenaan.

Terdahulu, menurut laporan Harian Metro melaporkan berlakunya jangkitan COVID-19 di satu lokasi penggambaran di Perak.

Kes itu melibatkan tujuh orang yang terbabit dalam produksi, namun ada beberapa didakwa melanggar SOP patut menjalani kuarantin tetapi balik ke Kuala Lumpur.

Selain itu, dilaporkan juga tiga individu lelaki iaitu seorang pelakon, pengarah dan penolong pengarah diberkas pihak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Perak akibat positif dadah pada Ahad lalu.

Ketiga-tiga mereka difahamkan berada di negeri berkenaan bagi menjalankan aktiviti penggambaran sebuah telefilem terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd yang berbaki 20 peratus.

Author

Share