Tangkapan dadah: Saya minta maaf jika ada salah dan silap – Niezam Zaidi

PETALING JAYA: “Assalamualaikum semua, Saya minta maaf jika ada salah dan silap saya pada kalian semua,” itulah luahan yang dibuat oleh pelakon Niezam Zaidi di Instagramnya baru ini apabila ditahan pihak polis atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis Cannabis bersama beberapa ahli produksi filem yang lain.

Difahamkan juga, Niezam bersama pengarah Mohd Latif Zami dan penolong pengarah serta Saiful Zaidrin Ismail telah mengaku bersalah diatas pertuduhan yang dikenakan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa lalu.

Ekoran itu, pelakon ini tampil memohon maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang respon terhadap individu yang menghubunginya berhubung kes ini.

“Saya minta maaf juga tidak dapat membalas satu-satu KOMEN sahabat handai, media dan rakan2-rakan seperjuangan melalui DM, whatsapp, call dan sebagainya,” tulisnya.

Niezam juga menzahirkan rasa bersyukur dengan apa yang menimpa dirinya kini, malah menanggap ia ujian daripada Tuhan buatnya.

“Alhamdulillah, syukur pada ALLAH diatas apa yang terjadi dan jutaan terima kasih juga pada kalian semua yang selalu mendoakan saya selama ini, semoga ALLAH merahmati kalian,” katanya.

Tambahnya lagi, tiada ulasan yang dapat dibuat olehnya mengenai sebarang kenyataan atau pun komen mengenai perkara ini.

“Buat masa sekarang, saya simpan apa-apa komen mengenai isu ini.Semoga kalian semua sihat sentiasa dan diberkati serta dirahmati, amin,” ujarnya.

Menjengah diruangan komen di Instagramnya, Niezam dibanjiri dengan komen serta kata-kata semangat oleh peminat dan rakan artis yang memberikan semangat buat untuk kekal positif.

“Semoga dipermudahkan segala urusan. Gagal hari ini, tidak semestikan gagal selama-selamannya

“Semoga segala urusan dipermudahkan kuatkan semangat ya dik, kami sentiasa mendoakan yang terbaik

“Sesuatu yang besar akan datang saudara. Percaya prosesnya. In shaa Allah,” KOMEN RAKAN ARTIS.

Author

Share