Akhiri zaman duda, Fizo pilih bekas pramugari sebagai isteri


PETALING JAYA : Aktor, Fizo Omar sah bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Fazeera Nazri Azrai dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Bidaisari Resort, Janda Baik, Pahang.

Pengurus Fizo, Mimi mengesahkan identiti Fazeera yang juga merupakan bekas pramugari penerbangan Qatar Airways pada pagi Khamis.

“Alhamdulillah pagi semalam (Khamis). Fizo buat majlis secara tertutup hanya famili terdekat sahaja yang datang.

“Majlis berlangsung secara ringkas saja memandangkan Fizo sudah lama menduda,” kata Mimi secara ringkas.

Fazeera yang juga merupakan bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan berkongsi dua keping gambar mengenakan baju pengantin dan turut menggunakan gambar profil Fizo berbaju Melayu putih bersama anaknya, Wan Maryam.

Foto pertama yang dimuat naik menunjukkan seorang lelaki (tanpa menunjukkan wajah) sedang menyarung cincin ke jarinya dengan kapsyen Alhamdulillah.

Fazeera yang dipercayai berasal dari Sarawak bagaimanapun menutup ruangan komen pada akaun miliknya itu.

Pada malam Khamis, Fizo berkongsi sekeping foto memakai persalinan baju melayu berwarna putih bersama anak perempuannya di Instagram.

Walaupun tidak mengesahkan tentang khabar gembira itu namun Fizo memberi bayangan dia kini sudah keluar daripada kumpulan selebriti berstatus duda.

Author

Share