Selepas Instagram Anuar Zain buka akaun Tiktok, harap komen positif sahaja?

PETALING JAYA : Sejajar dengan arus teknologi, TikTok menyambut kedatangan penyanyi tersohor, Anuar Zain ke aplikasi popular berkenaan.

Menerusi video pertama yang dimuat naik oleh pelatun lagu Keabadian Cinta itu, dia menyeru peminat untuk memperkenalkan aplikasi itu dengan lebih lanjut dengan aura positif.

“Hello semua! Saya masih baru di TikTok dan baru saja membuka akaun di platform ini. Tidak sabar rasanya hendak melihat pelbagai perkara menarik di sini.

“Anda semua dipersilakan komen, ikut akaun saya, namun kalau boleh biarlah yang positif saja. Kehadiran saya disini hanya sekadar suka-suka dan berseronok saja.

“Oleh itu, saya berharap energi dan aura yang positif di sini dengan sama-sama memberi sokongan ke arah lebih baik buat satu sama lain. Saya sayang semua,” ujarnya.

Sementara itu di ruangan komen, ramai wargamaya mengalu-alukan kedatangan Anuar di platform video tersebut.

Malah, ramai yang turut berkongsi kenangan menghadiri konsert serta pernah bertemu dengan pelatun lagu Sedetik Lebih itu.

Sehingga kini, Anuar telah mengutip lebih 59,000 pengikut dan telah memuat naik empat video.

Author

Share