Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf Nasir Tak Sangka?

PETALING JAYA : Single Tak Sangka nukilan Yonnyboii, Zynakal dan Aysraf Nasir yang baru dilancarkan sebulan lalu, berjaya melakar sejarah menduduki tempat pertama dalam Carta RIM selama enam minggu berturut-turut.

Pencapaian single Tak Sangka menjadi kebanggaan Def Jam Malaysia dan Def Jam Asia Tenggara (SEA) selaku penerbit apabila karya segar itu diiktiraf dan berjaya memberi impak tersendiri.

Pengarah A&R & Pemasaran dan Ketua Def Jam Recordings Malaysia, Hermond Cheng berkata, pencapaian diraih menerusi single Tak Sangka cukup besar maknanya.

“Kami tahu Yonnyboii, Zynakal dan Aysraf memiliki potensi besar dalam membawakan karya segar dalam industri muzik. Single Tak Sangka antara karya yang diyakini mampu mencipta evolusi.

“Ini terbukti dengan pencapaian diraih walaupun tidak menjangkakan. Namun, kami berbangga dengan pencapaian mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Def Jam SEA, Joe Flizzow menyifatkan kejayaan itu menjadi alibi muzik hop hop tempatan kian tinggi martabatnya.

Sebagai pejuang genre itu, Joe memuji sifat berani pejuang hip hop generasi baharu dalam memastikan karya mempunyai nilai estetika berkualiti.

“Bagi saya, kejayaan single Tak Sangka membuktikan generasi baharu hip hop di Malaysia mempunyai kematangan dan keberanian dalam penghasilan karya. Ia juga menunjukkan peminat semakin menghargai lagu rap tempatan,” katanya.

Berkongsi pencapaian manis, Yonnyboii mengakui, kerja keras merealisasikan single Tak Sangka nyata berbaloi. Ini kerana berdepan pelbagai rintangan demi memastikan karya berkenaan dapat dilancarkan.

Yonnyboii bersyukur, gabungan mereka disifatkan keputusan paling tepat.

“Sejujurnya, kami tidak menyangka, namun, pada masa sama memiliki keyakinan cukup tinggi terhadap single Tak Sangka. Kami membuat persiapan bersungguh-sungguh, walaupun banyak perancangan terpaksa ditunda akibat pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, kami dapat melancarkan single Tak Sangka pada masa yang tepat. Karya ini cukup istimewa kerana ia adalah kolaborasi pertama kami bertiga.

“Apabila dapat bekerjasama dengan rakan baik dan satu label, keterujaan lebih luar biasa,” kata Yonnyboii.

Zynakal menyifatkan projek berkenaan memberi makna buatnya secara peribadi. Bukan sekadar meraikan pencapaian sambutan luar biasa, malah mengakui proses rakaman karya berkenaan mengajarnya banyak perkara.

“Alhamdulillah, single Tak Sangka memberi impak dan ia banyak membantu kami. Pencapaian ini disebabkan keserasian kukuh antara kami.

“Walaupun pertama kali bertemu Asyraf ketika proses rakaman lagu, tetapi kami mudah mencipta keserasian,” katanya.

Sementara itu, Asyraf berharap single Tak Sangka menjadi ‘trademark’ sebagai peniup semangat buat pendengar hip hop tegar atau pelbagai lapisan usia.

“Saya teringin melihat single Tak Sangka dibawa pada acara anugerah dan pentas lebih besar jika ada rezeki.

“Bagi saya, kekuatan single Tak Sangka ini terletak pada ramuannya. Ini kerana Zynakal dan Yonnyboii ada cara tersendiri, begitu juga saya. Walaupun terdapat perbezaan, kami memiliki suara hati sama.

“Itu adalah kekuatan utama, selain irama muzik bukan hip hop yang klise. Pendengar boleh menilai sendiri single Tak Sangka. Apabila mendengarnya, dengan sendiri mereka akan bergoyang dan menikmati dengan penuh keseronokan,” katanya.

Author

Share