Anak kami bukan bahan uji kaji – Almy Nadia


PETALING JAYA : Aktor, Datuk Fizz Fairuz meluahkan kegusaran dengan saranan kerajaan untuk memberikan suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak dibawah usia 12 tahun.

Kurang bersetuju dengan pelaksaan berkenaan, Fizz yang juga bapa kepada tiga cahaya mata bimbang akan impak dan kesan terhadap kanak-kanak yang mendapat suntikan pada masa akan datang. 

“Pada pendapat saya, belum sesuai kot. Belum perlu lagi untuk diberikan kepada anak-anak kecil kerana kesannya terlalu kuat. Walaupun dosnya kurang berbanding orang dewasa namun kesannya pasti teruk juga buat mereka.

“Sedangkan orang dewasa juga tidak tahan, apatah lagi buat kanak-kanak. Kerajaan diibaratkan sebagai bapa, jadi saya memohon untuk mempertimbangkan pelaksanaan ini.

“Jadi, mohon pertimbangan juga, jangan diperketatkan dan jangan memaksa sebab ramai kanak-kanak dah ambil vaksin influenza… anak saya pun ambil. 

“Serba sedikit dapat juga membantu. Kalau boleh kita tangguh dahulu. Beri betul-betul vaksin tak ada kesan pada kanak-kanak,” kata Fizz.

Pelakon berusia 42 tahun itu berharap dan memohon kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini selaras dengan syor daripada Pentabiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat yang mengesahkan vaksin itu boleh digunakan mereka yang berumur lima hingga 12 tahun. 

Sementara itu, Datin Almy Nadia menerusi ruangan komen turut bersetuju dengan kenyataan suaminya dan tidak mahu kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dijadikan bahan uji kaji.

“Anak-anak saya bukan tempat untuk kerajaan buat uji kaji ya. Kami yang kena cucuk vaksin pun tumbang bagai nak mati.

“Bayangkan anak-anak kecil kena walaupun dos dah dikurangkan tapi tetap sakit ya. Tolong ambil perhatian ya wahai kerajaan. 

“Jangan ikut sedap perut saja nak buat anak-anak kecil ini bahan uji kaji. Maaf, saya sangat emosi bab ni,” kata Almy.

Pasangan pelakon ini mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014 dan kini mempunyai tiga anak perempuan serta seorang anak angkat.

Author

Share